Manusia sekejap saja boleh berubah. Mungkin saja semalam hari dia jauh dari Tuhannya, esok-esok pula boleh saja dia sedekat dahi bertemu sejadah dengan Tuhannya.
Jangan menilai seseorang itu seperti kau tahu seluruh jalan hidupnya sedangkan kau baru sekilas pandang zahir dari mata kasarmu saja.
Hati manusia itu Allah yang pegang. Seburuk apapun dia di masa lalunya; andai sekali dijentik hatinya untuk berubah/berhijrah pada Allah, taufiq hidayah itu miliknya.
Sedikit aku khabarkan tentang aku— benar, dulu aku bukan seorang yang 'rapat' pada Tuhan. Tidak lahir dalam liqa' yang 'baik-baik'/alim. Bahkan seringkali menganggap remeh soal akhirat. Pendek kata, jahil. Diri mumayyiz, tapi seakan bayi yang tidak tahu apa-apa. Itulah aku yang dulu.
Namun, hati manusia Allah yang pegang kan? Syukur aku jadi orang bertuah yang Allah pilih untuk memilih jalan 'putih' berbanding kepalsuan manisnya jalan 'hitam'. Walaupun pernah berada di jalan 'hitam', Allah tetap sayang. Itulah salah satu bukti kebesaran Allah.
Allah Ya Rahim.
Hanya saja, apa yang aku harapkan aku kekal di jalan ini. Meskipun aku akui jatuh bangun kerap kali, tapi aku cuba sedaya upaya bangkit. Kerna aku tahu, aku bertuah dan insan yang dipilih Allah untuk berhijrah pada jalan yang lebih baik dari sebelumnya. Alhamdulillah tsumma Alhamdulillah. Baiknya Allah.
Semoga istiqamah dan sentiasa diberi kekuatan dalam menempuh pelbagai dugaan mendatang. Semoga kental dalam menggapai mardhatillah. Yang dapat aku katakan, ianya bukan mudah. Tapi yakinlah, minta kekuatan dari Rabbmu. Allah bantu. Apa yang aku cuba simpan rapi, "Seberdosa apapun kau pada semalam hari, tetap ada keampunanNya untuk mengampunimu walau sebesar lautan dosamu. Allah itu Maha Penyayang."
Doakan aku teman. Aku doakan yang sama buat kalian juga. Sungguh aku sayang jalan ini. Semoga kita tetap dalam lingkaran tarbiyyah. Dan semoga hati kita sentiasa terpaut padaNya. Ketahuilah hadiah yang paling beruntung adalah bila dikurniakan hidayah daripada Allah. Semoga insan yang dihadiahkan oleh Allah itu adalah aku, kau, kita.
Aku tahu, setiap manusia menginginkan syurga Allah, tapi sedikit saja yang berusaha menuju syurgaNya. Semoga kita termasuk insan yang bakal menghuni syurgaNya kelak.
Aamiin Ya Mujib! Allah Ya Sami', dengarkan rintihan hati kami Ya Rabb. Makbulkanlah. ❤️
June 16th, 2021.
10.55pm, Adriana A.